23 Dec 2011

Segalanya Bermula Dengan Niat

Assalamualaikum w.b.t.



Sedikit perkongsian pada kali ini ialah berkenaan dengan kunci atas segala perbuatan seseorang adalah bermula dari niatnya. Sebaikmana niat yang dihajati sebaik itulah perbuatannya. Bermula dengan kesucian jiwa seseorang manusia dalam keazamannya untuk melakukan sesuatu tindakan. Sebagai seorang hamba, segala sesuatu yang diniatkan sewajarnya adalah kerana Allah semata-mata, agar Allah berkenan memberikan taufik dan hidayahnya.
Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat di dalam hati, atau niatnya. Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu bahkan apa yang dirancang, keinginan dan harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat yang dihajati.
Niat merupakan perkara utama yang menentukan sama ada amalan seseorang itu diterima oleh Allah SWT atau sebaliknya. Melalui niat maka lahirlah perbuatan dan amalan, jika niat ke arah kebaikan maka perbuatan juga merupakan perbuatan yang baik-baik dan jika niat sudah dirasuk untuk benda keburukan maka perbuatannya juga pasti merupakan perbuatan yang buruk dan terkutuk.
Niat yang sebenar adalah niat yang disertakan bersama keikhlasan hati untuk Allah SWT dalam meningkatkan kedudukan amalan dunia ke tahap ibadah yang akan diterima, sementara niat yang buruk menjatuhkan martabat amalan taat yang tulen bahkan menjadikannya perbuatan maksiat yang merosakkan lagi mensia-siakan. Justeru itu, orang yang melakukan perbuatan dengan niat yang salah tidak mendapat apa-apa serta nilainya di sisi Allah Taala melainkan kepenatan, kegagalan serta kerugian semata-mata…wallahua’lam.


No comments: