Setiap hari kita disibukkan dengan pelbagai rutin dan segala macam aktiviti. Ramai juga yang menjalani jalan hidup yang sama setiap hari. Bangun tidur, mandi, pergi kelas/kerja, makan, balik kelas/kerja, makan, tengok tv, check facebook, tidur, dengan solat di celah segala aktiviti itu. Semua ini diulang tayang setiap hari sehinggalah sampai harinya kita mungkin berkahwin, mempunyai anak, cucu, cicit, dan meninggal dunia.
Dalam kesibukan memenuhi tuntutan dunia, pernahkah kita terfikir ke mana tujuan hidup kita, bagaimanakah diri kita di akhirat kelak, dan apakah yang kita lakukan sebagai persediaan untuk melalui Hari Pengadilan nanti. Seringkali kita melihat pelbagai berita di dada akhbar seperti kemalangan jalan raya, kematian orang jauh dan dekat, dan berasa simpati dengan nasib mereka. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa situasi tersebut mungkin akan berlaku pada kita, dan apakah kita bersedia untuk itu. Apabila ini berlaku, rutin kita berkemungkinan tidak akan sama lagi.
Memetik kata-kata Imam Al-Ghazali; mencari keredhaan Allah SWT dengan
1. Ikhlaskan niat
Setiap amalan anak Adam akan dinilai melalui niatnya. Jika setiap perbuatan yang kita lakukan sejak dari bangun tidur membawa ke tidur yang seterusnya diniatkan untuk redha Allah, ganjaran pahala akan menanti kita sebanyak-banyaknya. Agama Islam yang kita anuti ini adalah Syumul, yakni menyeluruh, serta meliputi seluruh aspek kehidupan kita. Malangnya kita seringkali terlupa dan melalui hari-hari kita sekadar yang ada tanpa niat dan semangat untuk Allah SWT.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.[Ali 'Imran 3:29]
2. Belajar dan bekerja semata-mata untuk Allah SWT, bukan untuk orang lain
Jika kita renungkan, kita seringkali menjadikan hidup kita sebagai satu penantian; jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.
Setiap hari kita menunggu untuk menghantar assignment, mahupun hari gaji. Kita merasa sungguh kecewa bila tidak mendapat apa yang kita inginkan. Tanpa sedar kita meletakkan pengharapan kepada orang lain, bukan lagi semata-mata untuk Allah. Sungguh istimewa kita diberi nikmat Islam dan Iman, seperti hadis Rasulallah SAW:
“Allah sungguh kagum kepada orang mukmin, apabila menerima nikmat ia bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia bersabar.” – (Maksud al-Hadis)
3. Mengikut syariat
Setelah kita ikhlaskan niat untuk Allah, hendaklah kita memastikan setiap perbuatan kita adalah mengikut syariat yang telah disebutkan dalam AlQuran dan AsSunnah. Adakah semua perbuatan yang kita lakukan boleh diniatkan kerana Allah? Tidak logik untuk kita niatkan kemungkaran dan perkara lagha kerana Allah SWT. Marilah kita berazam untuk memastikan setiap perbuatan kita boleh diniatkan untuk Allah dan menyumbang kepada tabungan pahala kita.
4. Menjadikan Rasulallah sebagai panduan.
Rasulallah ialah insan terbaik untuk dijadikan idola dalam setiap perlakuan harian kita. Daripada sebesar-besar perkara seperti memerintah sebuah kerajaan hinggalah kepada sekecil-kecil perkara seperti menjaga kebersihan diri telah digariskan oleh Rasulullah.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Ali 'Imran 3:31]
5. Bercita-cita tinggi, dan jangan bertangguh.
Kita juga hendaklah sentiasa ada target dan cita-cita yang hendak dicapai. Tetapkan objektif dan tahap pencapaian yang tinggi dalam setiap urusan kita. Bak kata pepatah Inggeris ‘Aim high, you set for the stars, and you’ll shoot for the moon’. Di samping itu, janganlah kita bersikap suka bertangguh dalam menyiapkan kerja. Tanamkan sikap ‘Just do it!’
6. Sedar akan kelemahan diri sebagai manusia biasa.
Kita juga hendaklah sentiasa sedar akan kelemahan diri sebagai manusia biasa. Adakalanya jika kita tersilap langkah atau tersalah pilih, maka bersegeralah bertaubat dan memohon keampunan Allah.
7. Menanam rasa takut dan harap di dalam hati.
Perasaan takut akan azab Allah akan memelihara diri kita daripada melakukan kemungkaran.
8. Sentiasa berwirid dan istighfar.
Penuhkan masa sehari-hari dengan wirid dan istighfar, diwaktu sibuk dan lapang, nescaya Allah akan menjaga kita.
9. Sedar akan setiap amalan dan perbuatan.
Bersikap jujur dan amanah, serta tidak berlaku zalim pada orang lain merupakan antara pendorong ke arah kejayaan. Setiap amalan baik pasti ada ganjarannya. Biar ganjaran tidak terzahir di dunia, kelak di akhirat pasti ada.
10. Penuhkan masa sebaiknya, isi mental dan fizikal.
Husnul Khatimah ataupun pengakhiran yang sejahtera adalah impian dan kemahuan setiap insan yang beriman. Pengakhiran hidup kita di dunia adalah permulaan kepada hidup yang abadi di akhirat kelak. Memenuhkan masa dan memfokuskan tujuan hidup kepada pencarian redha Allah dalam kehidupan kita sehari-hari akan membawa kepada pengakhiran yang sejahtera.
Kesibukan urusan yang semakin mencengkam dan menyesakkan akan ditenangkan dengan mengingati Allah SWT. Easier said than done, tapi kita janganlah berputus asa, teruskan berusaha dan berdoa, berdoa, dan berdoalah.




No comments:
Post a Comment