3 Feb 2012

Anugerah Wanita Inspirasi Wanita



Freida Mohd. Pilus
Freida Mohd. Pilus
Membaca dan mengetahui kisah wanita berjaya sememangnya menjadi kegemaran saya. Saya tumpang bangga dan seronok melihat kejayaan wanita dalam apa jua bidang. Di sini saya paparkan beberapa usahawan wanita yang berjaya dalam perniagaan masing-masing serta meraih anugerah yang setimpal dengan penat lelah mereka.
Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) dan Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat serta Persekutuan Persatuan Wanita Malaysia telah mengadakan Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2008 (NMEA 2008) bertempat di Putrajaya.
Anugerah tersebut telah dimenangi oleh seorang usahawan berjiwa pendidik iaitu Datin Freida Mohd Pilus, pengasas dan Pengerusi Cempaka Schools Sdn Bhd. Ibu kepada lima anak lelaki ini telah menubuhkan sekolah tersebut 25 tahun lalu. Datin Freida kini mengendalikan lima buah sekolah termasuk sekolah antarabangsa berasrama penuh untuk pelajar perempuan di @enstek, berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dengan kemenangan tersebut beliau telah menerima hadiah bernilai lebih RM100,000 termasuk sebuah kereta pacuan empat roda jenis Nautica tajaan Perodua.
Tempat kedua dimenangi oleh Datuk Azlina Che Abdullah, seorang pengasas produk kecantikan, De Classic Life (M) Sdn Bhd manakala tempat ketiga pula disandang oleh Julia Chong Chooi Fong yang mengasas dan menerajui syarikat The Truly Loving Company Sdn Bhd.
Tidak ketinggalan juga ialah penerima Anugerah Usahawan Baru yang dimenangi Pengarah Urusan, Clear Insights Technology Sdn Bhd iaitu Siti Mariam Abdullah, Anugerah Usahawan Platinum dimenangi oleh Pengarah Urusan, JWR Technology (M) Sdn Bhd iaitu Johora Bee Shaik Nattershah dan Anugerah Usahawan Luar Biasa telah dianugerahkan kepada siapa lagi jika bukan ‘iron lady’ Malaysia iaitu Pengerusi Eksekutif, Securiforce Sdn Bhd, Datuk Maznah Abdul Hamid.
Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah telah berkenan menyampaikan kesemua anugerah kebanggaan usahawan wanita itu.
Sesungguhnya bukan mudah untuk menjadi wanita yang berjaya mengimbangi antara keperluan diri, keluarga dan kerjaya atau perniagaan. Justeru itulah kejayaan mereka boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada wanita lain yang mempunyai aspirasi tinggi untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek kehidupannya. Syabas wanita!
Untuk membaca berita penuh, sila klik di sini.

PENGASAS SENDAYU TINGGI-PN.ROZITA IBRAHIM





Rozita Ibrahim ialah contoh klasik mengenai seorang yang hidup miskin dan menghadapi kesukaran demi kesukaran tetapi akhirnya mencapai kejayaan gemilang menerusi Sendayu Tinggi, syarikat yang diasaskannya sendiri. Siapa sangka, seorang ibu tunggal dan juga penoreh getah boleh merubah hidupnya dan membina empayar bernilai berjuta juta ringgit dan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada orang lain.





Bagi Rozita sendiri, bukanlah mudah untuk mencapai tahap yang dinikmatinya kini. Banyak liku liku kehidupan dan ranjau kehidupan yang terpaksa diharunginya sebelum menempah kejayaan bersama Sendayu Tinggi. Pada usia yang mentah iaitu 18 tahun, dia telah berkahwin dan juga terpaksa menempuhi perceraian dan dalam masa yang sama membesarkan anak anaknya. Lebih malang lagi, salah seorang daripada anaknya jatuh sakit dan meninggal dunia tanpa mendapat rawatan yang sewajarnya.





Pada zaman kesukarannya, pelbagai bidang kerja yang diceburinya untuk menyara diri dan keluarganya tetapi hasilnya amatlah tidak seberapa. Akhirnya, dalam keadaan terdesak, beliau membelanjakan beberapa ratus ringgit untuk memulakan formulasi kesihatan berasaskan herba. Untuk menguji keberkesanan produknya, beliau sanggup untuk menambahkan berat diri sendiri dan mencuba produk ciptaannya yang diberi nama Sendayu Tinggi.





Kini, segalanya adalah sejarah. Pada hari ini, produk Sendayu Tinggi adalah antara produk yang sering menjadi buah mulut masyarakat tempatan di Malaysia. Malah, produk produk hasilan Sendayu Tinggi kini telah mendapat tempat di pasaran luar termasuk Brunei, Singapura dan lain lain. Pada tahun 2005 sahaja terdapat lebih 2000 pengedar sah. Beberapa pengedar Sendayu Tinggi di sekitar Kuala Lumpur juga dikatakan mencatat jualan sehingga mencecah RM1 juta sebulan.





Rozita mengakui bahawa kehidupan yang dinikmatinya sekarang adalah hasil daripada ketabahannya menghadapi segala keperitan dan rintangan hidup selama ini.





Sumber: Terjemahan dari article Rozita Ibrahim & Sendayu Tinggi di Skor Career.
Gambar: Ehsan Sendayu Tinggi website.

Inspirasi dari KFC


Inspirasi dari KFC



sanders1Dua hari lepas, saya bersama suami dan anak sulong kami singgah di KFC. Ketika sedang menikmati hidangan ‘snack plate’ saya terpandang gambar seorang tua berambut putih sedang membuat persediaan untuk menggoreng ayam bersama rempah ratusnya. Foto itu sengaja diletakkan sebagai hiasan dinding di hadapan saya. Dalam hati bertanya, siapakah lelaki itu? Tentu ada kaitannya dengan KFC.
Rupanya dia adalah pengasas resipi ayam goreng KFC iaitu Colonel Harland Sanders yang dilahirkan di Kentucky pada tahun 1890. Semasa zaman kanak-kanaknya dia biasa memasak kerana ibunya sibuk bekerja setelah ayahnya yang bekerja sebagai pelombong meninggal dunia dunia ketika usianya sementah enam tahun. Manakala beliau pula anak sulong daripada lima orang adik beradik. Antara masakan yang beliau pelajari daripada ibunya ialah memasak ayam goreng. Namun untuk menjadi tauke ayam goreng bukanlah semudah dan sepantas itu. Sebaliknya Sanders sering bertukar kerja sehinggalah usianya 40 tahun. Waktu itu dia membuka stesyen minyak di Kentucky. Dalam masa yang sama dia memberi peluang orang yang singgah di situ menikmati ayam goreng yang dimasaknya sendiri. Akhirnya ramai orang menggemari keenakan rasa ayam goreng Sanders.
Kemudian dia membuka restoran ayam gorengnya sendiri bagi memenuhi permintaan orang ramai yang rindukan ayam gorengnya. Malangnya restorannya terpaksa ditutup (1952) dan Sanders kehilangan semua perniagaannya melainkan resipi menggoreng ayam yang mengadunkan 11 aneka herba dan ramuan itu. Akhirnya Sanders berjaya memfrancaiskan perniagaan ayam gorengnya dan semua itu dicapai hanya pada usianya 65 tahun. Kini KFC berada di lebih 80 buah negara dengan pendapatan tahunannya (royaltinya) melebihi USD4o,000 setahun.
Termenung sejenak saya membaca kisahnya. Beberapa pengajaran yang saya perolehi di sini ialah:
  1. Jangan ragu menggilap bakat yang tampak semasa zaman kanak-kanak. Ia boleh menjadi sumber pendapatan dan sumber hidup yang kekadang lumayan.
  2. Jika ‘bintang’ belum menyerlah dalam sesuatu bidang, jangan berputus asa. Teruskan usaha dan lakukan apa yang anda sukai kerana pintunya mungkin akan terbuka juga suatu hari nanti.
  3. Jika anda suka memasak, teruslah memasak. Jika anda suka menulis, teruslah menulis. Jika anda suka komputer, teruslah menggodam komputer. Jika anda suka melukis, teruslah melukis. Jika anda suka enjin, teruslah menggodam enjin motor (bukan motor curi) dan pelajari matematik kejuruteraan. Jika anda berhenti berbuat demikian, maka momentum untuk anda memulakannya kembali menjadi lemah.
  4. Mustahil kejayaan datang dalam masa sehari atau bergolek. Pasti ada harga yang perlu dibayar. Itulah ketekunan, kesabaran, disiplin dan konsisten.
  5. Jangan jadikan umur sebagai batasan untuk berjaya. Kejayaan adalah sukjektif. Ia akan datang kepada mereka yang inginkannya.
  6. Setiap orang berhak meraih kejayaan mengikut perspektif dan cara masing-masing.
Sebenarnya ramai di Malaysia yang sudah berjaya. Contoh di atas sekadar memetik inspirasi dari sekeping foto seorang lelaki tua berjanggut putih di KFC yang saya singgahi.
Nota: Kalaulah Sanders itu Islam, betapa panjang amal jariahnya…